Che Su menunjukkan gambar-gambar yang sempat dirakam ketika kejadian runtuhan itu. |
KULIM - Sudah 17 tahun berlalu, namun tragedi tanah runtuh yang meranapkan tujuh rumah di Taman Kenari, di sini, masih tidak dapat dilupakan terutamanya penduduk di kawasan itu.
Meskipun tidak melibatkan kehilangan nyawa namun, banyak kerugian harta benda terpaksa ditanggung penghuni di Jalan Empat, Lorong Tujuh Taman Kenari ketika itu.
Mangsa, Fatimah Ahamad, 58, berkata, kejadian itu masih segar dalam ingatannya apabila rumahnya menggelongsor ke bawah gaung.
Menurutnya, kejadian pada 16 November 1998 itu berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika suaminya baru sahaja ke tempat kerja dan anak sulung ke sekolah.
“Tinggal saya dengan anak berumur lingkungan lima tahun ketika itu dan seorang kanak-kanak yang saya asuh.
“Hujan memang lebat, jadi saya tengah hangatkan lauk semalam yang tak habis, sambil bancuh air. Tiba-tiba saya dengar bunyi seperti guruh, tapi saya tak fikir apa-apa.
“Namun, kemudian saya nak ambil penyapu di luar rumah, saya buka pintu depan dan terkejut melihat tebing rumah jiran sudah mula runtuh,” katanya.
Katanya, melihat keadaan itu dia terus menjerit memanggil jirannya supaya keluar dan melihat keadaan rumah.
“Mereka keluar dan mereka pula jerit beritahu keadaan tebing rumah saya juga semakin runtuh,” katanya.
Fatimah berkata, dia berlari keluar sehelai sepinggang dengan hanya memakai baju tidur dan membawa keluar anak dan anak asuhannya.
“Ketika saya berlari keluar memang dengar bunyi lantai dan dinding macam meletup-letup,” katanya.
Katanya, dalam hujan lebat dia memanggil jiran-jiran lain supaya keluar.
Hampir 50 orang berkumpul di laluan antara rumah walaupun keadaan masih hujan lebat dan menyaksikan sendiri tujuh rumah ranap.
“Kira-kira dua jam selepas rumah saya runtuh, satu lagi rumah turut ranap dan menghempap rumah saya dan terus menarik rumah-rumah seterusnya," katanya.
Manakala, seorang penduduk, Che Su Mohamad, 58, berkata, ketika kejadian keadaan memang kelam kabut.
“Saya tinggal di lorong ini, memang terselamat. Tapi saya juga trauma melihat keadaan tersebut dengan tangisan orang dan kanak-kanak,” katanya.