19 Rangka Manusia Di Kuala Kedah Dikebumi Semula

Mohd Rawi (kanan) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Datuk Zahari Ismail (dua, kanan) meninjau lokasi pengebumian.
KUALA KEDAH - Kira-kira 19 rangka manusia termasuklah tiga milik kanak-kanak yang ditemui di pesisir sungai minggu lepas selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ma’rufi, kelmarin.

Kesemua rangka manusia terlibat dipindahkan dari Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Kota selepas tanah perkuburan lama yang berusia ratusan tahun itu terhakis sejak dua bulan lalu.

Hakisan itu dipercayai berlaku kerana arus sungai kuat selain kehadiran bot nelayan yang berlabuh di kawasan berkenaan.

Proses mencari semula rangka manusia itu juga dilakukan selepas penduduk menemui sejumlah timbunan tulang manusia yang didakwa terendam dalam air.

Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Kota yang berusia 194 tahun itu adalah tempat bersemadi ratusan penduduk syahid selepas berperang dengan tentera Siam pada 1821.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati proses pengebumian rangka manusia berkenaan bermula seawal jam 8.30 pagi sebelum ditamatkan pada jam 1 petang.

Kesemua rangka yang ditemui itu juga dikebumikan dalam satu liang lahad.

Fasa pertama selesai

Dalam pada itu, Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, fasa pertama proses pengebumian rangka mayat ditemui di pesisir sungai berjalan lancar.

“Dalam fasa ini, kita dapat mencari dan menyelamatkan 19 rangka manusia dari tapak perkuburan asal itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur pihak bertanggungjawab dapat menjalankan pengebumian berkenaan dengan selamat dan lancar,” katanya.

Menurutnya, rangka manusia berkenaan dikebumikan sempurna mengikut prosedur, termasuklah lengkap dikapankan semula dengan kain putih.

Mohd Rawi berkata, pihaknya akan memulakan fasa kedua mencari dan menyelamatkan rangka manusia yang tenggelam akibat hakisan sungai berkenaan pada 2 November ini (hari ini).

Katanya, bagi mengelakkan berlaku semula hakisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Kota, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah diminta membina benteng di tebing sungai
berkenaan.

Proses mencari lancar

Sementara itu, penggali kubur, Shafie Md Isa, 61, berkata, dia sayu mengenangkan nasib jenazah ahli keluarga termasuklah datuknya yang mungkin turut terlibat dalam kejadian itu.

Shafie berkata, sepanjang proses mencari itu, tiada halangan yang dihadapi mereka malah semuanya berjalan lancar.

"Ketika mencari, kami akan menemui kepala disusuli bahagian tubuh lain seperti gigi yang terendam dalam lumpur.

"Saya puas hati apabila semua rangka manusia berkenaan ditemui sempurna meskipun air pasang pada hari pertama pencarian,” katanya.

Sumber: Sinar Harian