3 Remaja Palestin Pertahan Tanahair, Nekad Serang Kawasan Dijajah Israel

PARAMEDIK dan tentera Israel membawa budak Palestin yang ditembak selepas didakwa menyerang pengawal keselamatan ke hospital.
Baitulmaqdis – Tiga remaja Palestin melancarkan serangan berpisau dalam dua kejadian berasingan, semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki melakukan serangan di Pintu Pagar Damsyik, iaitu laluan utama untuk memasuki bandar lama Baitulmaqdis sebelum ditahan polis Israel.

Sementara itu, dua remaja berusia 12 dan 13 tahun menyerang seorang pengawal keselamatan menggunakan pisau di kejiranan penjajah Yahudi. 

Seorang daripadanya cedera ditembak manakala yang kedua ditahan.

Jurucakap polis Luba Samri berkata, pengawal keselamatan terbabit cedera ringan.

Kejadian itu yang pertama di Baitulmaqdis sejak seminggu lalu.

Sementara itu, pasukan keselamatan Israel menahan 24 orang didakwa anggota Hamas dalam serbuan sepanjang malam di Tebing Barat, kata tentera semalam.

Serbuan menyasarkan rangkaian Hamas di Qalqilya yang terletak berhampiran tembok pemisah dibina Israel.

“Ketua rangkaian itu yang mengendalikan ibu pejabat daerah kumpulan berkenaan berusaha menggiatkan aktiviti Hamas di kawasan itu termasuk merancang aktiviti keganasan.

“Mereka yang ditahan termasuk anggota kanan Hamas yang sebelum ini pernah ditangkap kerana merancang dan melakukan aktiviti keganasan untuk organisasi itu,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Katanya, wang tunai bernilai AS$9,000 (RM39,000) juga dirampas.

Pihak keselamatan Palestin mengesahkan penangkapan berkenaan. – AFP