3,000 "Fresh Flowers" Hiasi Logo Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27


KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 bunga segar digunakan untuk menghiasi logo Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

Ia berbentuk 10 elemen lengkung berwarna yang membentuk bulatan di sekitar logo ASEAN, yang terletak di pintu masuk VIP di Pusat Konvenyen Kuala Lumpur (KLCC) tempat sidang kemuncak bakal berlangsung hujung minggu ini.

Pemilik Arjuna Cipta Florist daripada Shah Alam, Azizan Hadi Saat telah diberi tugas untuk menghiasi elemen lengkung tersebut dengan tiga jenis bunga iaitu ros, orkid dan kekwa.

Beliau berkata kerja untuk menyemat bunga bermula tengah hari pada Khamis dengan bunga kekwa mengambil masa lebih lama untuk disemat kerana perlu memotong bunga daripada tangkai dan disemat pada logo.

Sebanyak 1,000 bunga ros merah, 1,500 orkid ungu dan hijau serta 300 bunga kekwa biru, hijau dan kuning digunakan, katanya.

Azizan Hadi gembira kerana diberi peluang menujukkan bakatnya dalam menggubah bunga.

“Saya juga tidak mahu terlepas peluang untuk menjadi sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN 2015 yang bersejarah,” katanya dan menambah beliau turut menggubah bunga untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Ditanya bagaimana sekiranya hujan merosakkan hiasan yang dilakukannya, Azizan berkata: “Bunga sukakan hujan untuk mekar dan menjadi lebih cantik.” – BERNAMA