36% Pekerja Asing Premis Makanan Tiada Vaksin Tifoid - Subramaniam

Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam (dua, kiri) beramah mesra dengan pengunjung R&R Dengkil sebelum menghadiri majlis Anugerah Medan Selera Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat dan Rawat R&R Dengkil semalam. - Foto BERNAMA
DENGKIL – Hampir 36 peratus daripada warga asing yang bekerja di premis makanan di negara ini didapati tidak mengambil vaksin tifoid, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata keadaan itu menyumbang kepada berlakunya 68 kes tifoid atau demam kepialu di Selangor dan Wilayah Persekutuan bulan lepas.

“Sebahagian besar pekerja asing yang bekerja di premis makanan yang diperiksa juga didapati tidak mengikuti kursus keselamatan makanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (arah selatan) di sini semalam.

Dr Subramanian berkata pada tahun ini sehingga 31 Okt, sebanyak 111,641 premis makanan telah diperiksa dan 1,996 (1.8 peratus) premis makanan telah diarahkan ditutup.

Pada tahun lepas pula, 120,169 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara dan sejumlah 3,115 (2.6 peratus) daripadanya diarahkan tutup, katanya.

Laporan media awal bulan ini menyatakan bahawa wabak tifoid akan diisytiharkan tamat sekiranya tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh tiga minggu lagi.

Kes terakhir dilaporkan pada 16 Okt lepas. – BERNAMA