4 Telaga Di Kelantan Dikesan Positif Bakteria Punca Demam Kepialu

Gambar Hiasan
KOTA BAHARU – Siasatan pihak berkuasa kesihatan setakat ini mendapati empat buah telaga di Kelantan positif bakteria jenis ‘Salmonella Typhi’ yang boleh menyebabkan demam kepialu.

Mendedahkan demikian, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, tindakan pencegahan dan kawalan sedang dijalankan termasuk pengesanan kes.

“Pendidikan kesihatan, pengambilan sampel makanan dan air termasuk ais, pemeriksaan premis dan pengklorinan 119,000 telaga telah dilakukan sehingga 31 Okt lepas,” katanya.

Ahmad Razin berkata jangkitan demam kepialu itu dipercayai berpunca dari makanan dan minuman tercemar selain liputan penggunaan air terawat di Kelantan yang masih rendah.

“Bekalan air terawat masih lagi menjadi isu di Kelantan di mana liputan air terawat adalah kurang daripada 70 peratus.

“Kebanyakan penduduk yang mempunyai bekalan air terawat bagaimanapun masih lagi menggunakan bekalan air telaga,” katanya

Sejumlah 151 kes demam kepialu dilaporkan sehingga 31 Okt lepas di seluruh Kelantan berbanding 35 kes dalam tempoh sama tahun lepas, katanya ketika berucap pada Program Gotong Royong Mega Peringkat Negeri Kelantan di Taman Transit Panji di sini, hari ini.

Program tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengenai denggi, Ahmad Razin berkata kes penyakit itu menurun sebanyak 82 peratus kepada 2,410 kes dari Januari hingga 1 Nov tahun ini berbanding 13,594 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas. – BERNAMA