Ada "Sebab" Kenapa Saya Tumbuk Ika Nabella, Kata Azma Aizal

Azma Aizal Yusoof
Pengarah muda, Azma Aizal Yusoof yang didakwa memukul pelakon Ika Nabella di set penggambaran drama menyatakan apa yang dilakukan itu bersebab serta percaya Tuhan akan menyebelahi dirinya dalam menghadapi isu ini.

Pada masa sama Azma, 33, yang sebelum ini popular menerusi watak ‘Butang’ dalam drama Sindarela, turut menyifatkan cerita mengenai perkara itu telah ditokok tambah namun enggan mendedahkan hal sebenar kerana menghormati siasatan pihak polis.

“Ada sebab saya berbuat demikian. Saya pun baru sahaja memberi keterangan kepada pihak polis dan siasatan kini sedang dijalankan. Apabila kes selesai, saya akan menceritakan hal sebenar apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, cerita yang sudah menjadi viral di laman sosial itu sudah ditokok tambah.

“Saya akan berdepan sahaja isu ini dalam apa-apa situasi pun. Allah sentiasa di sisi.

“Dalam pada itu, saya juga bersyukur kerana diberi ketenangan dalam menangani masalah ini. Biarlah pihak sana ‘berkicau’,” katanya yang dipetik dari mStar.

Terdahulu, Ika yang memegang watak utama dalam drama Dawai Asmara dilaporkan ditumbuk di bahagian muka dan badan bertubi-tubi oleh pengarah drama tersebut ekoran pelakon itu dikatakan gagal melakonkan apa yang diinginkan.

Susulan itu, Ika telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Azma pernah mengarahkan beberapa siri drama popular seperti Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Teman Lelaki Upahan yang disiarkan di slot Akasia TV3. -Kedahnews.com