Adenan Satem Akan Terima Ijazah Kehormat Doktor Dari UNIMAS


KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada majlis konvokesyen ke-19 universiti itu yang akan diadakan bermula Sabtu ini.

Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata ijazah kehormat itu dianugerahkan kepada Adenan sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.

Sebagai contoh, beliau telah meluaskan kawasan yang ditetapkan sebagai taman negara di negeri ini, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Adenan akan menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, yang juga Canselor UNIMAS, pada hari pertama majlis konvokesyen empat hari itu di Dewan Tuanku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA).

Mohamad Kadim berkata sebanyak 3,919 graduan akan menerima ijazah mereka pada konvokesyen tahun ini.

“Mereka termasuk 46 penerima Doktor Falsafah, 301 Sarjana dan 3,572 Ijazah Sarjana Muda,” katanya. – BERNAMA