Adenan Umum Projek Jambatan Kedua Hubung Mabong - Kapit


KAPIT - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan peruntukan RM35 juta bagi projek pembinaan Jambatan Sungai Mujong bagi menghubung daerah Bukit Mabong dan daerah Kapit.

Beliau berkata projek jambatan sepanjang 170 meter itu akan membuka potensi ekonomi di Bukit Mabong dari segi pertanian khasnya penanaman padi dan kelapa sawit serta eko-pelancongan.

"Kami (kerajaan) akan sediakan peruntukan tersebut bagi pembinaan jambatan itu pada awal tahun depan," katanya semasa merasmikan pengisytiharan Bukit Mabong sebagai daerah baharu, di Dewan Suarah di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Tanah negeri Tan Sri James Masing dalam ucapannya berkata, pelbagai program telah dirancang bagi membangunkan daerah Bukit Mabong seperti pembinaan kawasan bandar dan kemudahan infrastruktur.

Namun, katanya, bagi merealisasikan program itu jalan akses ke daerah itu dari Kapit perlu diadakan.

Selain Sungai Mujong, jalan bagi menghubungkan Kapit ke Bukit Mabong turut merentasi Sungai Balleh dengan jambatan bernilai RM85 juta sedang rancak dibina.

"Dengan adanya jalan akses ini nanti, tahap ekonomi penduduk boleh dipertingkatkan dan kawasan bandar baharu dan kemudahan infrastruktur yang lain boleh diadakan untuk Bukit Mabong membangun sebagai sebuah daerah," kata Masing.

Daerah Bukit Mabong berkeluasan 11,976 km persegi dan mempunyai sebanyak 22,145 penduduk daripada 117 buah rumah panjang. Anak kelahiran setempat, Douglas Pungga Lawang dilantik sebagai pegawai daerah Bukit Mabong yang pertama.

Dengan pengisytiharan daerah baharu itu, Bahagian Kapit kini mempunyai empat daerah iaitu Bukit Mabong, Kapit, Song dan Belaga.

Pada majlis itu, Adenan turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM5 juta bagi projek pengagihan bekalan air paip di Kapit yang bernilai RM10 juta. Baki RM5 juta akan diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Projek itu bagi menggantikan paip-paip lama di sekitar bandar Kapit untuk menyelesaikan masalah tekanan air yang membelenggu penduduk selama ini. -Bernama