Aeril Zafrel |
Pelakon Aeril Zafrel berasa terkilan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggodam akaun Instagram miliknya.
Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 27, berkata, dia telah membuat laporan kepada pihak Instagram dan sedang menunggu maklum balas daripada laman sosial itu.
"Saya mula menyedari Instagram saya digodam apabila tidak boleh memuat naik gambar. Tak sangka akaun saya itu rupa-rupanya digodam.
"Saya terus membuat laporan kepada pihak Instagram mengenai perkara itu dan menunggu maklum balas daripada pihak mereka," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Pada malam Khamis lalu, isteri Aeril iaitu aktres Wawa Zainal memuat naik paparan skrin akaun Aeril dengab kapsyen menyatakan bahawa ia sudah digodam. Malah nama akaunnya itu juga kerap diubah-ubah.
Sehingga kini Aeril mempunyai lebih 600,000 pengikut Instagram.
Sementara itu, Aeril enggan begitu mengharap untuk mendapatkan akaun Instagram itu semula dan menyifatkan mungkin perkara itu ada hikmah disebaliknya.
"Ikutkan hati memang nak balik akaun saya itu, tetapi saya reda. Mungkin ada sebabnya mengapa perkara ini terjadi pada saya.
"Mujurlah saya tak membuat IG Review seperti yang sedang dilakukan isteri. Kalau tak, saya pasti akan berasa serba salah" ujarnya.
Bagaimanapun kata Aeril, buat masa ini dia akan menggunakan akaun Instagram milik rakannya iaitu @arkib_aerilzafrel untuk berkongsi perkembangan kerjaya bersama peminat.
Dalam perkembangan lain, Aeril bakal muncul memerusi telefilem Akulah Balqis yang akan disiarkan pada 18 November ini di TV3.
Aktor itu juga akan memulakan penggambaran drama Dia Imamku untuk siaran TV3 dalam masa terdekat ini.
Sumber: mStar