Jakarta - Agensi anti dadah Indonesia mahu menggunakan buaya sebagai pengawal penjara yang bakal dibina di pulau bagi mengelak banduan melarikan diri kerana haiwan ganas itu tidak boleh dirasuah.
Agensi itu mengemukakan cadangan berkenaan untuk penjara menempatkan pesalah dadah yang dihukum mati.
Menurut akhbar Tempo, penjara itu ialah projek perintis ketua agensi anti dadah Indonesia, Budi Waseso, yang akan mengunjungi seluruh negara bagi mencari buaya ganas.
“Kami akan menempatkan seberapa banyak buaya yang boleh di sekeliling penjara pulau itu. Saya akan mencari buaya jenis paling ganas.
“Penggunaan buaya sebagai pengawal lebih baik bagi menghalang pengedar dadah melarikan diri dari penjara kerana buaya tidak boleh dirasuah,” kata Budi.
Cadangan itu masih di peringkat awal dan agensi berkenaan belum menentukan lokasi penjara berkenaan.
Undang-undang anti dadah Indonesia antara yang terketat di dunia dengan melaksanakan hukuman mati oleh skuad penembak untuk pengedar dadah, termasuk tujuh rakyat asing baru-baru ini.
Namun undang-undang ketat itu digagalkan oleh rasuah dengan kakitangan penjara serta banduan sering ditahan kerana menerima atau memberi rasuah sama ada dalam dalam bentuk dadah atau wang. - AFP