AirAsia Terima Pesawat Airbus A320Neo Mulai 2016

AirAsia Airbus A320neo
KUALA LUMPUR – AirAsia Group yang sudah membuat tempahan sebanyak 300 unit Airbus A320neo, akan mula menerima pesawat model terbaharu itu pada separuh kedua 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata pesawat yang akan menggantikan model sedia ada syarikat itu, turut menjadi antara usaha syarikat penerbangan tambang rendah itu memperluaskan perniagaannya di rantau ini.

Menurutnya, pesawat baharu yang dihantar secara berperingkat sehingga 2026, memiliki kelebihan termasuk menjimatkan penggunaan bahan api, pelepasan karbon lebih rendah serta penerbangan lebih lancar berbanding pesawat sedia ada.

“Kita mahu memastikan agar tidak menggunakan pesawat sudah terlalu lama yang menggunakan banyak bahan api,” katanya kepada wartawan pada acara kempen #Green24 AirAsia, di sini, semalam.

Pesawat baharu A320neo itu adalah model yang dipertingkatkan daripada pilihan enjin pesawat Airbus sedia ada yang memiliki ciri-ciri termasuk penjimatan bahan api sebanyak 20 peratus bagi setiap kerusi dan menghasilkan bunyi lebih senyap.

Tempahan 300 pesawat itu merupakan sebahagian daripada 475 pesawat dibeli AirAsia pada 2013 bagi menampung peningkatan permintaan, pengembangan perniagaan serta bagi membolehkan syarikat itu memasuki semula laluan ke Jepun.

“Kita akan terus menambah tempahan pesawat (pada masa depan), sejajar dengan pengembangan syarikat yang tidak hanya tertumpu di Malaysia tetapi juga di Thailand, Indonesia, Filipina, India serta diharapkan ke Jepun,” katanya.

Sementara itu, kempen #Green24 yang menyentuh aspek kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar, akan melibatkan keseluruhan AirAsia Group beserta syarikat Tune Group dan Asian Aviation Centre of Excellence.

Ia antara lain membabitkan pelaksanaan inisiatif di peringkat dalaman serta luaran bagi promosi kempen #Green24 dan kesedaran pelbagai isu perubahan cuaca.

Menurut Aireen, AirAsia telah melaksanakan kempen di peringkat dalaman menerusi pelbagai inisiatif bagi menjimatkan tenaga, mengurangkan pembaziran serta usaha kitar semula.

Kempen #Green24 akan berakhir dengan inisiatif di peringkat kumpulan dan disertai pelbagai syarikat terbabit yang dijadualkan pada Januari 2016.

Ini termasuk program 24 jam yang sarat dengan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar bagi melahirkan budaya peka lestari dalam AirAsia serta industri itu. – BERNAMA