Amanah Akan Minta Izin DAP Dan PKR Untuk Bertanding Di DUN PAS

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd. Samad
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan menuntut kepada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya dibenarkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi PAS dalam pilihan raya lalu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Amanah dalam posisi terbaik untuk mewakili Pakatan Harapan bertanding di kawasan terbabit sekali gus merampas kerusi terbabit daripada PAS memandangkan Amanah sebuah parti Islam yang menerima sokongan pelbagai kaum.

“Sudah pasti Amanah akan menuntut untuk bertanding di mana PAS telah bertanding sekiranya PAS tetap tidak bersama Pakatan Harapan dan tiada persefahaman pilihan raya antara PAS dan Pakatan Harapan.

“Ini adalah kerana Amanah merupakan sebuah parti Islam seperti PAS tetapi bersikap lebih inklusif dan jujur terhadap konsep berpakat dan berkerjasama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan. Sokongan Melayu dan bukan Melayu mampu diperoleh,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid dalam pada itu membidas Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali kerana menuduh DAP tidak yakin PAN mampu memenangi lapan kerusi DUN Selangor yang dimenangi PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Menurutnya, DAP menyatakan mahu bertanding di lapan kerusi tersebut bukan kerana tidak yakin dengan Amanah sebaliknya DAP telah hilang keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS untuk memenangi pilihan raya sebagai parti pembangkang.

“DAP sekarang menganggap bahawa PAS tidak lagi mampu mempertahankan kerusi-kerusi berkenaan. Ini adalah kerana DAP melihat bahawa PAS melalui kenyataan dan pendiriannya yang mutakhir telah kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu.

“DAP menawarkan diri sebagai parti yang akan bertanding di kerusi-kerusi tersebut untuk mengelak ia jatuh kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau turut menyelar PAS kerana tidak yakin dengan kemampuan DAP untuk memenangi lapan kerusi DUN di Selangor tersebut daripada PAS sedangkan Amanah percaya DAP mampu berbuat demikian.

Khalid turut menggesa PAS supaya berhenti daripada mengibar panji-panji perkauman serta menyubur perasaan takut terhadap sesama rakyat terutama ke atas kaum Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan. -Kedahnews.com