SEBELUM ini pelakon Izreen Azminda ada memberikan kritikan terbukanya terhadap lakonan Amar Baharin dalam persembahan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Mengulas perkara ini, Amar menyifatkan tindakan bekas pelakon gandingannya dalam drama Kerana Terpaksa Aku Relakan itu sebagai satu perbuatan yang tidak sepatutnya kerana kelihatan seolah-olah mahu meraih perhatian umum.
Memetik Mangga Online, Amar berkata, “Kalau dia tak suka lakonan saya, janganlah tengok. Saya memang tak kisah apa dia nak cakap cuma kalau boleh biarlah beradab.
“Bukan saya tak boleh terima kritikan tetapi kalau kritikan yang terlalu negatif itu saya tak ambil peduli sangat. Pasal kritikan Izreen itu saya kalau boleh memang tak mahu ulas lanjut.
“Sebab buat apa saya kaitkan nama dia dan secara tidak langsung beri publisiti pada dia. Bila kecoh orang bercakap mengenai kritikan dia terhadap saya, komen daripada ramai peminat, cara Izreen itu macam inginkan perhatian.
“Sebenarnya saya beranggapan kritikan yang dia sengaja letakkan di akaun laman sosialnya itu bertujuan untuk raih perhatian,” ujarnya lagi.
Izreen dalam komennya menyifatkan Amar perlu lebih banyak belajar mengenai lakonan dari aspek teater.
Izreen bagaimanapun memuji persembahan Nabila Huda yang baginya telah memberikan penghayatan terbaik dalam menjayakan naskhah teater karya Hamka itu.
Dalam teater tersebut Amar membawakan watak utama, Zainuddin yang patah hati dengan kekasihnya, Hayati (Nabila Huda) yang terpaksa berkahwin dengan Aziz (Karl Shafek). -Kedahnews.com