Ampang Park Tak Jadi Roboh Lepas Tukar Plan Stesen MRT?


PUSAT beli-belah yang terawal dibina di ibu kota, Ampang Park mungkin tidak akan dirobohkan.

Ini berikuan, pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) akan mereka semula bentuk struktur Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park.

Bagaimanapun, perubahan ini memerlukan persetujuan daripada 100 peratus pemilik unit strata.

Menurut satu kenyataan MRT Corp., susulan mesyuarat pihaknya bersama pemilik unit strata Pusat Beli-belah Ampang Park serta Ampang Park Management Corporation pada 15 dan 27 Oktober 2015, MRT Corp. telah mencatatkan isu-isu dibangkitkan dan mengkaji jika ada pilihan lain untuk Stesen MRT Ampang Park.

“Antara faktor yang dipertimbangkan untuk pilihan lain termasuk jika ada kemungkinan Pusat Beli-belah Ampang Park tidak perlu dirobohkan.

“Pada masa sama, untuk sebarang alternatif dipertimbangkan, MRT Corp. perlu memastikan pengguna masih boleh sampai ke stesen MRT dan LRT dengan mudah,” demikian menurut kenyataan itu.

Antara cadangan bagi perubahan ini adalah stesen tersebut perlu dialihkan jauh sedikit dari pusat beli-belah itu.

Stesen MRT Ampang Park merupakan stesen penting untuk laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP Line) kerana ia merupakan satu-satunya stesen di mana pengguna boleh menukar laluan MRT kepada laluan LRT Kelana Jaya. – Kedahnews.com