Latheefa mewakili anak lelaki Azmin. |
PETALING JAYA - Anak lelaki kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hanya akan hadir ke balai polis untuk memberi keterangan selepas selesai menduduki semua kertas peperiksaannya, kata peguam Latheefa Koya pada Isnin.
"Saya bercakap dengan pegawai penyiasat, ASP Ananthan pada petang Ahad dan akan menghantar surat kepadanya kira-kira pukul 10 pagi ini mengesahkan bahawa siasatan hanya akan diteruskan selepas dia selesai menduduki peperiksaannya. Kami akan memaklumkan kepada polis sebaik sahaja peperiksaannya selesai," kata Latheefa yang mewakili remaja berusia 15 tahun itu.
Menurut laporan, Azmin menyerahkan kepada peguamnya untuk memutuskan sama ada anak lelakinya perlu pergi ke balai polis untuk diambil keterangan pada Isnin berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bersih berikutan notis yang diserahkan oleh polis.
Notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah bertujuan memohon kehadiran anak lelaki Azmin ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira pukul 10 pagi Isnin bagi bagi direkodkan keterangannya berhubung perhimpunan tersebut.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji berkata notis itu dikeluarkan selepas anak lelaki Azmin gagal hadir ke balai polis tersebut selama beberapa bulan.
"Kami dimaklumkan bahawa dia sibuk dengan peperiksaannya. Kami cuba untuk bertolak-ansur dan memahami, oleh itu kami terus menangguhkannya.
"Namun selepas lama menunggu, DPP memutuskan untuk mengeluarkan notis tersebut. Kami hanya menjalankan tugas," katanya.
Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, mereka yang berumur 15 tahun ke bawah tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana perhimpunan awam.
Sumber: mStar