Laluan yang sering digunakan Rosli dan penduduk kampung untuk ke kebun getah setiap hari. Gambar kecil: Abdullah |
KULIM - Seorang anak tidak menyangka menemui mayat ayahnya dalam keadaan tertiarap di kawasan kebun getah Kampung Air Putih, malam kelmarin.
Anak mangsa, Ashraf Rosli, 23, menemui mayat ayahnya, Rosli Md Desa, 48, tertiarap berhampiran motosikal yang sering digunakan untuk pergi menoreh di kebun getah berkenaan.
Ashraf berkata, dia bersama dua abangnya keluar mencari ayahnya itu apabila diberitahu Rosli tidak pulang ke rumah selepas keluar menoreh pada waktu pagi.
Menurutnya, kebiasaannya Rosli pasti akan berada di rumah pada waktu malam jika keluar ke kebun.
“Saya balik saja kerja, abang-abang saya beritahu ayah tak balik lagi. Kalau tak ayah mesti sudah ada rumah waktu malam.
"Saya tanya kawan-kawan ayah yang bersembang di kedai kopi berhampiran rumah mengenai keberadaan ayah, tapi mereka cakap tak tahu,” katanya kepada Sinar Harian.
Ashraf berkata, dia dan ahli keluarga lain turut cuba menghubungi telefon bimbit ayahnya namun tidak berjawab.
Jelasnya, bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, dia bersama dua abangnya keluar mencari ayah mereka dengan bantuan kira-kira 20 penduduk kampung di kebun getah itu.
“Memang saya bimbang sebab ayah ada sakit jantung, Saya panggil penduduk kampung ajak cari ayah kira-kira jam 10 malam, keadaan ketika itu memang hujan lebat,” katanya.
Ashraf berkata, setibanya di kebun itu mereka terus membuat pencarian dan menemui tubuh ayahnya tertiarap berhampiran motosikal.
“Saya tengok motosikal ayah sudah dicucukkan kunci, saya percaya ayah mahu menghidupkan enjin motosikal untuk pulang ke rumah,” katanya.
Manakala, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, kebiasaannya Rosli akan ke kebun bersama isteri namun pada hari kejadian dia pergi bersendirian.
“Selalu mesti dia pergi dengan isteri dia pada setiap pagi, tapi semalam (kelmarin) dia pergi seorang, tak tahu lah kenapa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad mengesahkan kejadian dan menyatakan pihaknya dengan bantuan bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan awam.
Katanya, anggota polis membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa mati mengejut di tempat kejadian.
“Kedudukan tempat kejadian juga sejauh tujuh kilometer dan hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal sahaja.
"Mayat berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dan JPAM kira-kira jam 3 pagi semalam,” katanya.
Sumber: Sinar Harian