ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyindir kerajaan PAS Kelantan kerana menaikkan elaun wakil rakyat sedangkan ramainya masih hidup dalam kemiskinan.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil turut menyindir PAS kerana menaikkan elaun tersebut tetapi rumah mangsa banjir di Kelantan masih belum siap dibina.
“Tahniah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang dinaikkan elaun. Ini bermakna kemiskinan di Kelantan telah berkurangan. Rumah mangsa banjir semuanya telah siap dibina,” sindirnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.
Sidang DUN Kelantan semalam meluluskan kenaikan antara 10 hingga 43 peratus elaun Menteri Besar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta timbalannya, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), berkuat kuasa 1 Januari ini.
Kelulusan itu diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub selepas menerima cadangan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob agar Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 dipinda.
Keputusan itu juga dibuat setelah mendapat sokongan sebulat suara kesemua ADUN dalam persidangan tersebut termasuk pihak pembangkang yang kemudiannya mencadangkan agar elaun wakil rakyat dinaikkan kepada RM11,000. -Kedahnews.com