Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media bersama media Malaysia sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA |
MANILA – Pemimpin 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berpendirian sama dengan Pemimpin G20 yang mahukan kaganasan ditangani secara menyeluruh kerana selain kehilangan nyawa, tindakan kejam itu turut menimbulkan implikasi serius ke atas ekonomi dan perniagaan.
“Pada mesyuarat APEC dan G20, kami membincangkan isu keganasan, dan pendapat dan pendirian kami sama, iaitu menangani tindakan ekstrim ini sedaya upaya yang boleh,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata meskipun APEC merupakan mesyuarat berkaitan ekonomi dan perniagaan, ‘situasi sekarang ini (keganasan) sudah menjadi lebih serius dan turut memberi implikasi ke atas ekonomi dan perniagaan.’
“Ia bukan sahaja ada kesan dari segi keselamatan, malah boleh melumpuhkan ekonomi negara-negara, di mana ancaman keganasan begitu serius, umpamanya di Mesir dan Tunisia, di mana ekonominya tergugat,” katanya ada akhir lawatan rasmi tiga hari ke Manila untuk Sidang Kemuncak APEC kali ke-23 yang berakhir hari ini.
(Latar belakang) Memandangkan tindakan keganasan menyebabkan ancaman langsung kepada visi APEC untuk mewujudkan ekonomi yang terbuka dan makmur, badan itu mewujudkan Pasukan Petugas Khas Menangani Keganasan APEC pada Mei 2003.
Sebelum ke sini, Najib menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Antalya, Turki dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN.
Pemimpin G20 mengutuk serangan pengganas di Paris, dan Ankara terus komited untuk menangani keganasan, memperkukuh usaha untuk memerangi keganasan dalam semua bentuk dan di mana-mana sahaja.
Dalam kenyataan mengenai usaha memerangi keganasan pada Sidang Kemuncak G20 Antalya 2015 awal minggu ini, para pemimpin juga mengesahkan bahawa keganasan tidak boleh dan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana agama, negara, tamadun dan kumpulan etnik.
Di Manila, Presiden Filipina, Benigno S.Aquino III, mempengerusikan sidang kemuncak itu yang bertemakan “Membangunkan Ekonomi Terangkum, Mewujudkan Dunia yang Lebih Baik”.
Pada sidang kemuncak itu, Najib berkata pemimpin APEC juga menggesa negara anggota memperkasa pembaharuan struktur dalam ekonomi masing-masing supaya mesra perniagaan, penggunaan standard sejagat dan meningkatkan kemudahan perdagangan ketika ekonomi dunia kini perlahan.
Pemimpin juga menggesa pertumbuhan yang lebih terangkum, selain perlunya menangani perbezaan serantau dan jurang teknologi.
Selain itu, penyepaduan serantau menerusi pakatan perdagangan seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Pakatan Pasifik dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN, juga merupakan kunci kepada perdagangan dan pelaburan.
“Kegagalan WTO setakat ini bererti bahawa penyepaduan serantau menjadi langkah terbaik, dan menjadi pemangkin berkesan kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan,” kata Najib.
Sidang kemuncak itu turut membincangkan mengenai perlunya pelaburan dalam logistik dan infrastruktur.
“Peranan yang bakal dimainkan oleh AIIB (Bank Pelaburan Infrastruktur Asia) dan sebagainya turut menarik perhatian pemimpin APEC.”
‘APEC dianggotai Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong-China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Malaysia, anggota pengasas APEC pada 1989, memperjuangkan prinsip kesukarelaan, tidak terikat dan inisiatif berasaskan konsensus, yang akhirnya diterima pakai oleh perkumpulan itu. Prinsip terbabit kekal sehingga hari ini.
Pada 2014, ekonomi APEC menyumbang 40 peratus penduduk dunia, 57 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (US$44.1 bilion), 48.5 peratus dagangan dunia (US$18.5 bilion) dan 53.1 peratus kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) (US$652 bilion).
Bagi Malaysia, ekonomi APEC menyumbang 75.9 peratus (RM1.1 trilion) daripada jumlah dagangan negara dan 34.4 peratus (RM12.2 bilion) jumlah FDI di Malaysia manakala projek yang diluluskan dengan penyertaan APEC dalam sektor pembuatan berjumlah RM27.7 bilion (70.1 peratus). – BERNAMA