Arwah Tun Dr Ismail Mahu Penerapan Islam - Pertubuhan Jalur Tiga

Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman
KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) tidak bersetuju dengan kenyataan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tawfik Tun Dr. Ismail yang menyarankan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimansuhkan.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berkata, kebiasaannya individu hanya takut kepada sesuatu yang betul jika berhasrat untuk melakukan sesuatu kesalahan.

“Setahu saya di zaman Allahyarham Tun Dr. Ismail, beliau seorang insan yang sangat mulia yang mahukan penerapan nilai-nilai murni Islam wujud dalam pentadbiran Negara.

“Tun Dr Ismail sendiri pernah menyatakan perkara ini kepada bapa saya Allahyarham Datuk Othman Abdullah pada ketika itu yang bertanggung jawab dalam memastikan hal ehwal agama Islam Negara diurus tadbir dengan baik dan harus wujud satu sistem pengurusan bagi menjaga kebajikan umat Islam di Negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tawfik sebelum ini mengatakan hujahnya bahawa JAKIM perlu dimansuhkan kerana pertubuhan itu hanya campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat Malaysia.

Dalam kenyataannya itu, Tawfik turut menyebut, di awal kemerdekaan dahulu menteri-menteri bebas untuk minum wiski tanpa dipertikai oleh masyarakat terdahalu.

Mohd. Zainul Fithri berkata, kenyataan Tawfik bahawa Jakim tidak diperlukan sekadar menunjukan kedangkalan dan ketidak matangan beliau berfikir secara rasional.

“Presiden JATI merakamkan setinggi terima kasih dan amat terhutang budi dengan kewujudan serta fungsi Jakim di atas kerjasama erat dalam misi mengekang dan menghapuskan pelbagai ancaman terhadap Islam sama ada yang tersurat mahupun tersirat,” ujarnya. –Kedahnews.com