Bangkai pesawat Airbus milik Russia yang tersadai di Semenanjung Sinai, Mesir. - Foto REUTERS |
London - Amerika Syarikat dan Britain percaya bom menjadi punca pesawat Russia terhempas di Semenanjung Sinai hujung minggu lalu, ketika kumpulan Negara Islam (IS) bertegas mengaku bertanggungjawab.
Britain dan Ireland menggantung penerbangan ke resort Sharm el-Sheikh di Laut Merah selepas pesawat milik syarikat Russia itu terhempas selepas berlepas ke St Petersburg dari resort berkenaan menyebabkan 224 orang terbunuh.
“Bom adalah kemungkinan paling besar. Ia sesuatu yang kumpulan IS mahu lakukan,” kata seorang pegawai AS.
Pejabat Perdana Menteri Britain menyatakan “ketika lebih banyak maklumat diperolehi, kami mengambil kira pesawat itu terhempas akibat bahan letupan”.
Russia serta dan Mesir menolak dakwaan IS ia bertanggungjawab menyebabkan pesawat Airbus A-321 itu terhempas dan kumpulan itu sekali lagi menegaskan hari ini bahawa ia bertanggungjawab serta berjanji mendedahkan bagaimana ia dilakukan.
“Buktikan bukan kami melakukannya dan bagaimana pesawat terhempas. Kami akan beri maklumat lengkap bagaimana pesawat itu terhempas,” kata kenyataan IS melalui audio yang disiarkan di internet.
Pakar menyatakan serpihan serta mayat bertaburan dalam kawasan yang luas menunjukkan pesawat itu pecah di udara dan punca ia terhempas berkemungkinan besar akibat masalah teknikal atau bom dalam pesawat. Satelit Amerika mengesan cahaya panas pada pesawat sebelum ia terhempas. - AFP