ASWARA Bertukar Status, Dinaik Taraf Jadi Universiti P. Ramlee


KUALA LUMPUR – Ikon seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee diangkat sebagai Tokoh Warisan Negara manakala Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan dinaik taraf sebagai Universiti P. Ramlee.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

“Saya menyambut baik cadangan Pokok Sena, P. Ramlee memang seorang ahli seni yang terkenal, bukan sahaja negara kita malah juga di rantau Nusantara.

“Seiring itu, kementerian akan menaik taraf Aswara sebagai Universiti P. Ramlee bagi mengiktirafnya sebagai seniman unggul, juga mengangkat beliau sebagai Tokoh Warisan Negara,” kata Mohamed Nazri disambut tepukan semua anggota dewan.

Semasa perbahasan, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mahu kementerian melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) mengiktiraf Allahyarham P.Ramlee sebagai Tokoh Warisan Negara memandangkan bakat dan karya seninya menjadi rujukan dan perhatian dalam dan luar negara selain sukar dicari ganti. – BERNAMA