Aura Persembahan Wayang Kulit Masih Bersinar Memikat Ramai


KUALA LUMPUR – Jika ada yang beranggapan bahawa seni persembahan tradisional wayang kulit sudah luput dari ingatan, atau membosankan, tanggapan itu ternyata tidak benar dan ia dibuktikan melalui persembahan Kumpulan Seni Warisan Pusaka baru-baru ini yang nyata masih menyinarkan aura.

Duduk di sebalik tirai putih dan disinari dengan lampu kuning malap diiringi muzik gamelan, Tok Dalang memulakan persembahan dengan menyanyi sambil memainkan watak-watak yang dibuat daripada kulit dan mengajuk suara lebih dari tiga karakter dalam cerita berjudul “Bunga Cempaka Kenchana Malar Ajaib”, disampaikan dalam dialek Kelantan.

Tok Dalang, Muhammad Nor Hassan, 59, atau lebih dikenali Pak Awi berkata persembahan tersebut adalah mengenai puteri bernama Sita Dewi yang jatuh sakit, menyebabkan penjaganya, Serama dan Laksamana telah keluar mengembara bagi mencari ubat untuk puteri itu, dan dalam pengembaraan itu mereka berdepan dengan beberapa halangan dan cabaran.

Walaupun persembahan diadakan dalam dialek Kelantan sepenuhnya, para penonton mampu menikmatinya sehingga jelas amat terhibur terutamanya semasa adegan menari dan “bertempur” sehingga mencetuskan gelak ketawa kalangan khalayak.

“Persembahan ini campuran cerita sejarah dan kotemporari bagi menyesuaikannya dengan generasi hari ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.


Pak Awi yang memiliki pengalaman lebih 30 bermain wayang kulit berkata kumpulan persembahannya dianggotai lapan orang yang berperanan memainkan instrumens muzik tradisional Melayu seperti serunai, gendang dan gong.

“Pada masa dahulu ia disertai lebih 10 orang tetapi sekarang seorang boleh mengendalikan dua atau tiga instrumens pada satu-satu masa jadi tujuh atau lapan orang dalam pasukan sudah memadai,” jelasnya.

Persembahan kumpulan Pak Awi itu adalah bersempena program Persidangan Kebudayaan dan Kesenian Asia Tenggara, KataKatha anjuran Pusaka dan Yayasan Maybank. Ia berlangsung empat hari bermula Khamis lalu.

Pengarah urusan Pusaka, Pauline Fan berkata wayang kulit bukanlah persembahan yang dapat ditonton selalu oleh orang ramai kerana ia hanya dipersembahkan pada acara tertentu, khususnya di Kelantan.

“Orang ramai terutamanya remaja sangat berminat untuk mengetahui dan menonton persembahan warisan seperti ini. Kami bertanggungjawab memperkenalkan ia kepada masyarakat luas,” kata beliau.


Pauline berkata KataKatha merupakan platform terbaik di Malaysia yang mengumpul penggiat seni dan budaya seluruh Asia Tenggara bagi berbincang dan bertukar idea dan juga membolehkan mereka mengetengahkan kreativiti selain menggalakkan kepelbagaian dalam berfikir.

“Program ini bukan sahaja fokus kepada penggiat seni dan budaya seperti penulis, penari, pembikin filem dan artis. Orang ramai terutamanya generasi muda juga boleh turut serta dalam perbincangan agar mereka boleh belajar budaya sendiri dan budaya lain serta warisan berharga,” jelasnya.

Beliau menambah selain perbincangan, program itu turut meliputi aktiviti lain seperti bacaan awam, tayangan filem dan forum awam.

Bertemakan Berkongsi Sejarah, Berkongsi Budaya, Berkongsi Tradisi, Katakatha menghimpunkan 10 tokoh penting intelek budaya Asia Tenggara dari Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia. – BERNAMA