SUNGAI PETANI - Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, ramai yang menjadi mangsa termasuk kanak-kanak terjatuh lubang dan lebih lima kenderaan rosak akibat ketiadaan penutup besi longkang di Taman Delima, di sini.
Pesara, Md Razi Hussain, 57, dari Jalan Baiduri, Taman Delima berkata, kehilangan penutup besi pada lubang sedalam kira-kira tiga meter di kawasan itu sememangnya mengundang bahaya kepada pengguna terutama kepada kanak-kanak.
Dakwanya, disebabkan ketiadaan penutup, ada yang tidak menyedari kewujudannya, terutama pada waktu malam sehingga ada tayar kenderaan yang terlekat di lubang terbabit.
Sudah beberapa kali pihak berkenaan menggantikan penutup ini, tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini, ia dibiarkan begitu sahaja.
"Keadaan itu mengundang bahaya kepada pengguna berdasarkan kedalaman longkang selain risiko kewujudan haiwan berbahaya atau berbisa seperti yang pernah ditemui sebelum ini," katanya.
Zakiroh Mohamad, 40, mendakwa, pernah suatu ketika, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun menjadi mangsa ketika leka mengayuh basikal apabila terjatuh semasa berlumba dengan rakan-rakan.
“Kejadian itu mengejutkan penduduk selepas kanak-kanak mengadu rakan mereka terjatuh ke dalam lubang.
“Selain mengalami cedera ringan, ia berisiko ke arah kecederaan lain sekiranya masih dibiarkan terbuka,” katanya.
Sementara itu, Sabari Yahya, 64, berkata, disebabkan laluan yang agak sempit, kenderaan yang melalui jalan berkenaan tidak boleh berselisih, sekiranya tidak sedar kewujudan lubang terbabit, kemungkinan salah satu tayar kenderaan berisiko untuk terlanggar lubang tersebut.
Beliau yang juga Bendahari Kawasan Rukun Tetangga menjelaskan, aduan sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan dan mengharapkan tindakan pantas dapat dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang.
“Pernah satu ketika, penduduk beramai-ramai membantu mangsa mengalihkan kenderaan apabila salah satu tayar masuk ke lubang ini.
"Masalah ini juga berisiko kepada pengguna warga emas, ibu hamil dan kanak-kanak," katanya.
Sumber: Sinar Harian