"Bagan Nakhoda Omar": Kata Tidak Rasis, Tapi Kenyataan Berbaur Perkauman


Sinonim dengan sifat "chauvinis" dan "ultra kiasu", DAP yang sebelum ini tidak mengaku tebal mengamalkan sentimen perkauman semalam dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang berbaur rasis dan mengundang marah ramai pihak.

DAP Selangor dikatakan mahu kerajaan negeri menukar nama sebuah perkampungan nelayan Cina, Bagan Nakhoda Omar kepada nama Cina dengan alasan konon ia didiami 100 peratus masyarakat Tiong Hua itu.

Bukan itu sekadar itu saja, malah Timbalan Setiausaha DAP Selangor yang juga ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dengan angkuh turut mendesak supaya status warta Tanah Rizab Melayu di kawasan Bagan Nakhoda Omar dibatalkan langsung.

“Bagan Nakhoda Omar diduduki 100 peratus nelayan Cina puluhan tahun, tetapi statusnya masih lagi Tanah Rizab Melayu. Usaha untuk menukar sudah dilakukan bertahun-tahun, tetapi sampai sekarang tiada jawapan.

“Kalau boleh esok kita berjaya tukar dan warta ini dibatalkan, ini kerana Bagan Nakhoda Omar terletak di daerah Sabak Bernam itu diduduki 100 peratus oleh masyarakat kaum Cina, jadi nama dia pun kenalah tukar.

“Kita kena tulis misalnya Bagan Nakhoda Chong, nama Omar itu tidak payah, sebab nanti kita akan ingat Noh Omar (Ahli Parlimen BN Tanjong Karang). Seperti bunyinya lebih kurang Bagan Nakhoda Noh Omar pula macam tu.

“Jadi, Bagan Nakhoda Omar ini kita tukar contohnya Bagan Nakhoda Chong itu adalah lebih baiklah,” kata wakil rakyat DAP kawasan berkenaan ketika berbahas pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, semalam.

Tindakan biadapnya itu bagaimanapun ditegur oleh pihak yang sering dituduh "rasis" apabila ADUN BN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak bingkas membidas dengan menyifatkan kenyataan ADUN Sekinchan berbaur perkauman yang ekstrem.

“YB Sekinchan (Suee Lim) kuat sangat rasisnya. Kalau boleh, jangan kuat sangat sampai nama pun nak jadi isu. Nama tu dah lama dah. Tidak profesionallah. Ia bukan Bagan Noh Omar tapi Bagan Nakhoda Omar,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika mengulas perkara itu berkata, kerajaan negeri akan membuat semakan terlebih dahulu dengan Pejabat Tanah dan Galian berhubung status kawasan tersebut.

“Kita boleh batalkan dan ganti tapak lain dengan nilai yang sama. Pastinya kita nak tengok susun atur bangunan, kampung sedia ada, supaya masalah keselamatan, kesejahteraan rakyat dapat diambil kira,” kata beliau. – Kedahnews.com