Datuk Seri Anwar Ibrahim |
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih beliau kerana tidak dapat menyambut perayaan Deepavali tahun ini kerana terpaksa merengkok dalam penjara.
Anwar yang dihukum penjara kerana kesalahan meliwat seorang lelaki lain berkata, fikiran beliau bagaimanapun sentiasa bersama-sama mereka yang menyambut perayaan agama Hindu tersebut.
“Tahun ini saya tidak dapat bersama-sama menyambut pesta cahaya (Deepavali). Tetapi yakinlah, fikiran saya, harapan untuk semua yang terbaik sentiasa bersama anda semua,” katanya dalam satu perutusan dari penjara seperti disiarkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini.
Anwar berkata, perayaan Deepavali diraikan oleh penganut Hindu dengan kegembiraan dan penuh ketaatan di Malaysia dan juga di seluruh dunia.
Katanya, Deepavali adalah sebuah perayaan bagi meraikan perjuangan di antara perkara yang betul dan salah serta yang baik dan jahat.
“Marilah kita mengukuhkan dan meneruskan perjuangan menentang kezaliman dengan semangat baru dan usaha,” katanya.
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati salah oleh mahkamah kerana meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. –Kedahnews.com