Banjir: JPAM Pendang Ronda Kawasan Rendah Tiap-Tiap Hari

Anggota JPAM Pendang memeriksa enjin bot sebagai persiapan menghadapi banjir.
PENDANG - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang mengenal pasti beberapa kawasan rendah yang berkemungkinan dilanda banjir pada musim tengkujuh ini.

Pegawainya, Roshasniza Roski berkata, antara kawasan itu adalah Mukim Air Puteh, Mukim Guar Kepayang, Mukim Padang Pusing dan Mukim Bukit Raya.

Menurutnya, sebagai persediaan, pihaknya akan meronda setiap hari di kawasan terlibat terutamanya bila berlakunya hujan berterusan.

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan melakukan persiapan bot, lori, pacuan empat roda dan ambulan.

"Malah 70 anggota juga dilatih bagi meningkatkan kemahiran iaitu latihan pengendalian bot, latihan memasak serta memindahkan mangsa banjir,” katanya.

Roshasniza berkata, pihaknya juga mewujudkan pasukan tindak balas kecemasan peringkat komuniti dengan membabitkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan penghulu di setiap kawasan.

"Pasukan sokongan ini akan memberi pertolongan awal kepada mangsa sebelum kami tiba," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kali ini pihak JPAM juga akan menempatkan empat anggotanya di setiap pusat pemindahan bagi memberi pertolongan cemas, penyediaan bekalan makanan serta pendaftaran mangsa banjir.

"Bagaimanapun perkhidmatan anggota JPAM  bergantung kepada bilangan mangsa yang dipindahkan.

"Kini JPAM Pendang juga menubuhkan bilik kawalan 999 yang beroperasi 24 jam bagi khidmat kemanusiaan supaya setiap bencana alam dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh menghubungi JPAM di talian 04-7592124 jika kawasan mereka dilanda banjir.

Sumber: Sinar Harian