Bank Di Malaysia Kurang Kompromi Dengan Peminjam, Dakwa 4PM

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) menyeru bank-bank di Malaysia supaya lebih berkompromi dengan pelanggan mereka yang menghadapi masalah untuk menyelesaikan hutang.

Presidennya, Rosland Mohd. Arif berkata, terdapat bank dalam negara terlalu tegas dengan peminjam yang berhadapan dengan situasi itu hingga menyebabkan kedua-dua pihak tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya.

“Ada bank lebih gemar memufliskan atau melelong harta peminjam walaupun tindakan itu tidak memberi lebih keuntungan berbanding berkompromi dengan peminjam untuk mendapatkan penyelesaian menang-menang.

“Perkara seperti ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan baik jika pihak bank lebih prihatin dan mendengar keluhan serta rayuan daripada peminjam-peminjam yang menghadapi masalah,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Rosland memberi satu contoh kes yang diadukan kepada 4PM melibatkan seorang peminjam menghadapi masalah hutang rumah tertunggak selama 12 bulan dengan sebuah bank akibat menghadapi masalah kewangan.

Menurut beliau, peminjam itu berkali-kali merayu kepada pihak bank supaya membenarkan dia membayar separuh daripada hutang tertunggak berkenaan untuk mengelakkan rumahnya dilelong.

Kata beliau, bank bagaimanapun enggan menerima bayaran tersebut sebaliknya menuntut bayaran penuh hutang tertunggak hingga menyebabkan peminjam menjadi bingung dan kehidupannya semakin terjejas.

Jelas Rosland, jika pihak bank berkompromi dalam hal tersebut maka rumah mangsa terselamat daripada dilelong manakala pihak bank akan mendapat separuh daripada jumlah hutang tertunggak sebelum peminjam meneruskan bayaran yang seterusnya.

“4PM sedang berusaha menyelesaikan kes ini dengan pihak bank dan setakat ini kami mendapat reaksi yang positif daripada bank berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang memerlukan bantuan 4PM diminta menghubungi talian 03-238 67835/019-2531000/019-3971000/011-1331 3155/1700-818-707 atau melayari laman web www.ppppmalaysia.weebly.com. –Kedahnews.com