Bantu Perkukuh Hidup Ibu Tunggal, 3 Jawatankuasa Bakal Ditubuh

Datuk Azizah Mohd Dun
SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan tiga jawatankuasa kerja yang memberi lebih fokus kepada usaha menjayakan Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal bertujuan meringankan permasalahan dihadapi golongan itu di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata tiga jawatankuasa itu berasaskan kepada tiga aspek utama pelan tindakan tersebut, iaitu pemerkasaan ekonomi, sosial serta penyelidikan dan penyelarasan.

“Jawatankuasa kerja ini akan beri lebih fokus dan berbincang lebih dalam berhubung pelan tindakan ini dengan melihat kepada tiga aspek utama tersebut.

“Contohnya, aspek pemerkasaan ekonomi akan melibatkan agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

“Saya yakin pelan tindakan ini akan berjaya kerana komitmen yang diberikan mereka (agensi berkaitan) sangat tinggi,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Roadshow Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal Peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Mengulas mengenai jerayawara (roadshow) itu, Azizah berkata ia diadakan bagi membolehkan kementerian mendekati kumpulan sasar iaitu ibu tunggal dan berkongsikan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap langkah strategik dalam pelan tindakan itu mencapai matlamatnya.

Beliau berkata Selangor dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program itu memandangkan negeri tersebut mempunyai statistik ibu tunggal paling ramai di negara ini iaitu 40,583 orang berdasarkan bancian 2010.

“Roadshow ini akan diteruskan pada tahun depan sepanjang Januari hingga Mei dan akan dilaksanakan mengikut zon iaitu Zon Timur, Zon Selatan, Zon Utara, Zon Sabah dan seterusnya Zon Sarawak,” katanya.

Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal 2015-2020 dilancarkan pada 22 Okt lepas oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Pelan berkenaan merangkumi 18 langkah strategik berasaskan tiga teras utama iaitu memperkasa ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial serta meningkatkan penyelidikan dan penyelarasan pembangunan golongan ibu tunggal di Malaysia.

Bagi memperkukuh pelaksanaan pelan itu, satu pasukan petugas pemerkasaan ibu tunggal terdiri daripada 27 agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta turut ditubuhkan. – BERNAMA