Bantuan Saya Diluluskan, Saya Kena Isi Sampai 10 Borang - Adam Corrie

Adam Corrie Lee Abdullah
Jika ada mualaf dilaporkan berhadapan pelbagai cabaran, tetapi berbeza dengan Adam Corrie Lee Abdullah apabila status sebagai selebriti memudahkannya berurusan untuk mendapatkan bantuan zakat selepas bergelar saudara baharu.

Beliau yang memeluk Islam sejak 2007 sentiasa dimaklumkan oleh pihak Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengenai hak dan bantuan zakat yang layak diterima mualaf.

"Boleh dikatakan saya bernasib baik sedikit berbanding rakan mualaf yang lain. Perkim sentiasa beri maklumat, mungkin status saya sebagai selebriti, jadi mereka pun kenal saya. Alhamdulillah, saya ada dimaklumkan mengenai bantuan zakat untuk mualaf," katanya kepada mStar Online.

Sepanjang tempoh lima tahun had panggilan sebagai mualaf, Adam Corrie berkata, beliau hanya menerima bantuan zakat sekali sahaja selepas permohonannya diluluskan pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Saya ada mohon bantuan zakat sekali kerana tiada 'job' hampir dua tahun. Bantuan saya diluluskan tetapi prosesnya memang agak lama. Kalau tak silap saya kena isi sampai 10 borang.

"Lepas itu, saya kena turun naik pejabat banyak kali. Saya bersyukur walaupun proses itu lambat, saya dapat juga bantuan tersebut. Tapi kadang-kadang saya terfikir juga bagaimana nasib mualaf lain yang lebih teruk daripada saya," katanya.

Walaupun dalam tempoh lima tahun terawal selepas memeluk agama Islam beliau layak menerima agihan asnaf mualaf, Adam Corrie, 47, berkata, beliau pernah hadir sekali sahaja ke majlis berbuka puasa untuk menerima sumbangan Aidilfitri pada 2011.

"Itupun saya datang sebab ustaz yang Islamkan saya suruh ambil sumbangan tersebut sambil-sambil berbuka puasa bersama mualaf lain.

"Saya hanya ambil sumbangan tersebut sekali sahaja dalam tempoh lima tahun pertama itu. Saya tak ambil dah lepas itu sebab rasakan ada lagi mualaf yang lebih layak dan patut terima sumbangan berkenaan," katanya.

Adam Corrie yang kini aktif dalam aktiviti dakwah berkata, beliau menerima mesej daripada pengikutnya di laman Facebook yang mengadu masalah sukar mendapatkan bantuan daripada institusi zakat.

"Ada rakan mualaf hantar mesej di Facebook saya mengadu masalah mereka. Saya tak tahu nak buat macam mana. Saya syorkan mereka ke Perkim untuk mendapatkan nasihat mengenai proses dapatkan bantuan.

"Itu sahaja saya mampu bantu. Mereka kata dah pergi tapi status bantuan masih 'tergantung'. Jadi kena ada penyelesaian kepada isu bantuan tersebut," katanya.

Menurut beliau, pihak majlis agama Islam atau mana-mana institusi keagamaan yang berkaitan sepatutnya sering berhubung dengan saudara baharu untuk mengetahui perkembangan kehidupan mereka sebagai seorang Islam.

"Tugas mereka sebenarnya belum selesai selepas saudara baharu ini mengucap dua kalimah syahadah. Mereka masih bertanggungjawab dengan memberikan maklumat dan membimbing golongan tersebut," katanya.

Tambah beliau, masalah yang dihadapi golongan mualaf pada hari ini adalah kurang mendapat maklumat mengenai keistimewaan yang sepatutnya mereka perolehi.

"Saya cukup bimbang dengan kehidupan mualaf selepas mereka selesai mengucap dua kalimah Syahadah. Bagaimana kehidupan mereka? Ke manakah hala tuju mereka? Adakah mereka mendapat bimbingan yang sepatutnya?," soalnya.

Sumber: mStar