Mangsa ditemui selepas pencarian dilakukan di kawasan kejadian. |
SUNGAI PETANI – Hasrat murni seorang bapa menyelamatkan anak tiri yang lemas di loji takungan air Taman Semarak Fasa 1 akhirnya mengorbankan dirinya dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Mangsa, Mohd Tarmimi Bahri, 25, dari Kampung Tengah, Padang Temusu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas membantu Mohd Syazwan Abd Halim, 12, ketika mereka sedang menjala ikan di loji berkenaan.
Kejadian disaksikan isteri mangsa, Suzaina Abdullah, 36, bersama anak mereka, Haikal Putra, 5 bulan, dan dua lagi anak tiri mangsa yang turut bersama ketika kejadian.
Mohd Syazwan ketika ditemui berkata, dia gagal untuk menyeberang loji berkenaan seperti mana yang diminta Mohd Tarmimi yang lebih mesra dipanggil abah.
"Sampai ke tengah, saya rasa tak dapat nak berenang dan saya jerit minta tolong dekat abah. Abah yang ada dekat seberang terjun ke dalam air dan tolak saya untuk berpaut pada tebing.
"Tapi dalam sekelip mata, kami tak nampak lagi kelibat abah sehinggalah dia tenggelam," katanya.
Menurutnya, biarpun abah bukan bapa kandung, tetapi kasih sayang yang terjalin cukup erat membolehkan mereka sekeluarga sering menghabiskan masa bersama-sama memancing atau menjala ikan.
Arwah suka memancing
Ibu mangsa, Siti Suraya Abdullah, 44, berkata, dia baru sahaja sampai ke rumah Mohd Tarmimi sebelum anaknya itu memaklumkan mahu keluar menjala ikan.
"Dia cuma sempat tegur dan berborak ringkas sebelum keluar bersama isteri serta anak-anak.
"Sejak dulu memang arwah suka memancing dan menjala ikan. Itu hobi dia, kami tak pernah halang dan saya juga pernah teman dia pancing ikan sebelum ini," katanya.
Menurutnya, anak kedua daripada enam beradik itu berperwatakan baik dan seorang yang pendiam.
Walaupun masih muda, Siti Suraya tidak pernah menghalang hasrat Mohd Tarmimi ingin memperisterikan Suzaina yang sudah memiliki enam anak malah yakin beliau dapat membesarkan kesemua enam anak tiri berusia enam hingga 16 tahun dengan baik.
"Kami masih terkejut dengan berita ini, namun terima takdir ini dengan hati terbuka," katanya.
Loji bertakung
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 2 (Taman Semarak), Khairul Anuar Zainol berkata, keadaan loji yang bertakung menjadi tarikan pemancing atau penjala ikan.
“Air loji sepatutnya lancar namun disebabkan tersumbat, air menjadi bertakung. Disebabkan itu, ia menjadi tarikan penggemar kaki pancing untuk mencuba nasib. Penduduk sudah tahu tahap bahaya menyebabkan mereka jarang mendekati kawasan ini.
“Bagaimanapun ia sering dikunjungi pengunjung luar yang kurang arif tentang tahap bahaya di sini,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan supaya melakukan kerja-kerja baik pulih loji takungan yang tersumbat dan dijadualkan kerja tersebut akan dilakukan pada 17 November ini.
“Disebabkan kejadian ini sudah berlaku, kita meminta Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah mempercepatkan kerja-kerja baik pulih di sini,” katanya.
Khairul berkata, papan tanda amaran berbahaya juga sudah dipasang di loji berkenaan namun, tidak dihiraukan pengunjung.
Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai mematuhi arahan yang disediakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Mohd Razmi Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.33 petang daripada orang awam yang memaklumkan kejadian.
“Mangsa ditemui pada jam 4.23 petang dengan menggunakan teknik ‘surface searching’, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan polis dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk bedah siasat.
Sumber: Sinar Harian