Baru Dibuka Sehari, Iran Arah Tutup Halal KFC Konon Milik AS


TEHERAN – Sebuah restoran makanan segera Halal KFC yang baharu sahaja dibuka di ibu kota Iran, Teheran, diarah untuk ditutup oleh pihak polis setelah beroperasi secara rasmi sehari pada Selasa, lapor media tempatan.

Arahan penutupan drastik tersebut berikutan restoran ini didakwa sebagai sebahagian daripada rangkaian premis makanan segera popular dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Kentucky Fried Chicken yang biasa juga disebut KFC.

Polis Iran bagaimanapun menyatakan bahawa restoran Halal KFC di Teheran terpaksa ditutup tidak sampai 24 jam ia baharu dibuka kerana pihak pengurusannya didapati telah menguna pakai lesen permit kebenaran palsu.

Pengurus Halal KFC, Abbas Pazuki namun menjelaskan kepada agensi berita Tasnim, premis makanan yang diuruskan mereka telah diarah untuk ‘tidak dibuka’ kerana dianggap konon sebahagian daripada jaringan KFC AS.

“Ini salah faham sahaja. Kami sebenarnya adalah sebahagian daripada rangkaian restoran Halal KFC yang memang berpusat di Turki. Pihak polis pula menyangka kami dimiliki langsung oleh firma AS,” kata beliau lagi.


Abbas menambah bahawa Halal KFC malah dimiliki oleh pengusaha Islam tempatan dengan sasaran utama ialah negara-negara berpenduduk majoriti Muslim serta dianggap sebagai ‘pesaing’ kepada restoran KFC AS sendiri.

Ketua pejabat perdagangan dan perindustrian Iran, Ali Fazeli, mengesahkan kepada agensi berita ILNA bahawa Halal KFC yang membuka cawangan restoran pertama mereka di Teheran tiada apa-apa kaitan dengan KFC di AS.


Ramai pihak bagaimanapun melihat premis itu sebagai pengaruh ‘budaya popular’ AS kerana reka bentuk premis dan menu dihidangkan juga amat menyerupai konsep restoran KFC berpusat di Louisville, Kentucky, AS sendiri.

KFC yang diasaskan sejak 1930 kini memiliki hampir 19,000 premis di 118 buah negara di seluruh dunia serta menyajikan menu halal di negara-negara Islam termasuk rantau Asia Barat dan Asia Tenggara. – Agensi