Berebut Kerusi Bertanding PRU Ke-14: Amanah Dakwa PKR Diperkuda PAS

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd. Samad
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa PAS memperkudakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menghalang parti baru itu daripada bertanding dalam mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd. Samad berkata, perbuatan itu merupakan sikap parokial, tertutup dan anti-demokratik PAS selama ini yang menyebabkan partinya terpaksa ditubuhkan sebagai sebuah parti Islam baru.

“Amanah ingin menyatakan bantahannya terhadap usaha PAS untuk memperkudakan PKR dengan meminta supaya PKR menghalang Amanah daripada bertanding.

“PAS perlu difahamkan semua pihak termasuk Amanah berhak bertanding di mana sahaja ia ingin bertanding. Kebersamaan Amanah dengan Pakatan Harapan bukan kerana tidak mampu bersendirian tetapi atas kesedaran tanggungjawab,” tegasnya dalam dalam satu kenyataan media hari ini.

Khalid turut mengingatkan PKR bahawa Pakatan Harapan adalah gabungan parti-parti politik pembangkang yang komited kepada usaha menjatuhkan UMNO maka tiada parti dianggap dominan dalam Pakatan Harapan.

Katanya, Pakatan Harapan terutama PKR perlu juga memperingati pengalaman sewaktu PRU13 kerana ada parti pembangkang iaitu PAS yang mengkhianati perjanjian satu lawan satu dengan UMNO.

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sebelum ini menegaskan PKR akan tetap mengadakan kerjasama dengan PAS walaupun dibantah Amanah dan DAP.

Ia berikutan kebimbangan PKR akan kehilangan sokongan ahli dan penyokong PAS seperti yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 4 tahun ini.

PAS bagaimanapun memberi syarat kepada PKR jika mahu terus menjalin kerjasama dengan parti itu dengan memastikan Amanah dan DAP tidak bertanding dikerusi yang pernah ditandingi PAS.

Amanah dan DAP pula menegaskan akan bertanding disemua kerusi yang dimenangi PAS dalam PRU13 terutama di Selangor kerana mendakwa PAS bukan parti gabungan Pakatan Harapan. –Kedahnews.com