“Berhenti Buat Kenyataan Terbuka” – Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli parti berhenti daripada membuat kenyataan secara terbuka yang boleh mengundang fitnah.

Kata beliau, ahli parti termasuk para pimpinan tertinggi PAS perlu mengelak membuat kenyataan yang boleh mengundang salah faham dalam kalangan ahli dan masyarakat luar.

“Parti mempunyai disiplin tersedia yang mesti difahami dan dipatuhi. PAS tidak menyekat sebarang kritikan atau komentar kepada pimpinan parti, namun ia mestilah mengikut saluran dan disiplin parti.

“Ahli parti yang melafazkan dirinya akan beristiqamah, bersama perjuangan parti sehingga mati dan menyayangi parti tidak wajar melukakan imej parti,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Tuan Ibrahim berkata, k enyataan berupa tuduhan hanya akan mengundang pelbagai persepsi yang tidak tepat sekali gus membawa kesan dan dosa yang berpanjangan.

“Lebih bahaya bilamana ia akan mengundang pelbagai tulisan yang hanya menyambung benih fitnah tersebut,” katanya. –Kedahnews.com