KUALA LUMPUR - Kawasan perairan Malaysia di Laut China Selatan termasuk di Gugusan Beting Patinggi Ali adalah bukan kawasan yang wujudnya 'tuntutan bertindih' antara Malaysia dengan mana-mana negara, tegas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Menurut beliau, kawasan berkenaan yang terletak kira-kira 80 batu nautika dari Tanjung Baram, Sarawak, jelas berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).
Anifah berkata, di bawah peruntukan UNCLOS 1982, sesebuah negara yang berpantai seperti Malaysia berhak menuntut kawasan EEZ dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika jaraknya.
Sehubungan itu jelasnya lagi, nelayan tempatan bebas menjalankan aktiviti di kawasan EEZ dan mana-mana kapal pengawal pantai asing termasuk kapal pengawal pantai China yang memasuki kawasan itu boleh dianggap menceroboh, katanya ketika dihubungi.
Anifah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media tempatan baru-baru ini, bahawa nelayan laut di Miri, Sarawak diusir pengawal pantai China yang sentiasa berada di kawasan berkenaan.
Selain itu, Menteri Luar itu juga turut menjelaskan tentang langkah-langkah yang wajar yang sentiasa diambil bagi memastikan kepentingan negara di Laut China Selatan sentiasa terpelihara.
"Ini termasuklah mengadakan rondaan dan pengawasan serta aktiviti-aktiviti penguatkuasaan," katanya.
Katanya pada masa ini terdapat kapal-kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Beting Patinggi Ali yang melakukan rondaan bagi memastikan kedaulatan negara di kawasan tersebut terpelihara.
"Justeru, nelayan tempatan tidak perlu khuatir untuk menangkap ikan di kawasan Beting Patinggi Ali," ujar beliau.
Kapal pengawal pantai China berkenaan dilapor berlabuh di kawasan perairan sekitar Gugusan Beting Patinggi Ali dan telah dipantau sejak 2013 tanpa sebarang provokasi oleh kedua-dua negara.
Pada Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanggungjawab terhadap APMM berkata kerajaan telah mengirim nota diplomatik hampir setiap minggu dan akan meneruskan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan kapal asing itu. -Kedahnews.com