Bienda Dakwa Komen M. Nasir & AC Mizal Kurang Ajar, Tuntut Mohon Maaf

Bienda
Tersingggung dan mendakwa ibunya diaibkan, penyanyi Bienda yang juga anak kepada Sheeda menuntut supaya juri program realiti Gegar Vaganza 2, Datuk M. Nasir dan Datuk AC Mizal memohon maaf secara terbuka kepada ibunya.

Ini berikutan, Bienda atau sebenarnya Nor Razlinda Razli, 30 berpendapat komen yang diberikan oleh juri pada konsert malam Ahad lalu itu telah menjatuhkan maruah ibu dan keluarga mereka.

“Saya sangat terkejut dan kecewa mendengar komen yang diberikan, kalau ikutkan hati saya ingin sahaja menjerit kepada juri itu, tetapi fikirkan semula ia perkara yang tidak rasional.

“Tapi ia sangat keterlaluan dan mengaibkan ibu saya. Kenapa perlu persoalkan tentang umur dan rupa paras sedangkan ia adalah pertandingan nyanyian.

“Saya boleh katakan komen itu sebagai kurang ajar kerana mereka tiada rasa hormat kepada ibu saya yang bersusah payah memasuki pertandingan itu.

“Ia bukan sesuatu yang senang untuk dia bawa lagu-lagu yang bukan genre dangdut. Saya yakin lepas ini ramai artis yang takut untuk sertai pertandingan kerana komen yang diberikan bersifat menghentam peserta,” katanya yang dipetik dari mStar.


Dalam konsert minggu empat yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, Sheeda mendendangkan lagu Tiada Lagi bersama penyanyi Aweera.

Antara komen M Nasir kepada Sheeada ialah “putera mencari princess tapi rupa-rupanya terjumpa dengan emak princess” . Dialog itu dikatakan seolah-olah memperlekehkan usia Sheeda yang mahu berlakon sebagai puteri raja.

Komen itu mengundang ketawa orang ramai dan kemudian turut disambut oleh AC Mizal dengan berkata; “Aku dah agak dah… aku dah agak dah..”. -Kedahnews.com