Bilangan Murid Sertai Kelas KAFA Semakin Berkurangan Tahun Ini

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Bilangan murid Islam yang mengikuti Program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semakin menurun kepada 56.6 peratus pada 2014 berbanding 75.3 peratus pada 2013 dan 77.4 peratus pada 2012.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3, hanya sembilan buah negeri mencatatkan lebih 50 peratus penyertaan murid dalam program KAFA yang turut dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tujuh buah negeri menerima penyertaan yang rendah iaitu Kuala Lumpur dengan 16.9 peratus, Labuan (27 peratus), Selangor (28.7 peratus), Putrajaya (38.4 peratus), Sabah (42.6 peratus), Perlis (45.2 peratus) dan Pulau Pinang (48.9 peratus).

Laporan itu menyebut Jakim tidak mempunyai satu mekanisme untuk mengesan kedudukan murid yang tidak menyertai program KAFA atau tidak menyertai mana-mana program seumpamanya di luar.

Malah maklumat mengenai sebab-sebab penurunan penyertaan program itu juga tidak diperoleh, menurut laporan itu.

Bagi mengenalpasti punca penurunan enrolmen pelajar ke program KAFA, Jabatan Audit mengsyorkan satu kajian dibuat bagi memastikan objektif program tersebut untuk mewujudkan satu sistem kelas pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain yang kemas, seragam dan bersepadu di seluruh negara tercapai.

Dalam maklum balas berhubung isu itu, Jakim menyatakan berdasar semakan, penurunan jumlah pelajar KAFA didapati signifikan dengan kenaikan jumlah pelajar di Sekolah Rendah Agama Swasta yang menjadi alternatif kepada pelajar Islam untuk mengikuti pengajian agama.

Jakim juga akan memohon peruntukan khusus untuk tahun 2016 bagi melaksanakan kajian menyeluruh mengenai Pendidikan Islam kepada murid peringkat rendah dan keciciran murid Islam di Sekolah Kebangsaan daripada mengikuti Pendidikan Islam yang ditawarkan kerajaan atau agensi swasta, demikian menurut laporan berkenaan. – BERNAMA