Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman |
KUALA LUMPUR – Sindrom 3L iaitu “Lupa, Leka dan Lalai” merupakan antara penyebab utama berlaku kebakaran pada musim perayaan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman.
Beliau berkata sehubungan itu masyarakat diingatkan supaya peka akan kepentingan mencegah tragedi berkenaan untuk mengelak kejadian kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang boleh menyebabkan kerugian besar.
“Mencegah kebakaran ini adalah tanggungjawab bersama dan bukannya hanya tanggungjawab pihak bomba. Elemen 3L ini selalunya menjadi penyebab kepada berlakunya tragedi ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Deepavali 2015 di sini, Sabtu.
Perasmian itu disempurnakan Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu.
Khirudin berkata pihaknya mengharapkan penurunan kes kebakaran pada tahun ini di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan kempen kesedaran dan keselamatan kebakaran yang proaktif untuk kesejahteraan komuniti.
“Melalui kempen seperti ini kita dapat berjumpa dengan komuniti dan mengedarkan risalah…dan menerusi media massa tv dan radio juga kita akan ingatkan (sampai mesej) kepada mereka untuk mencegah kebakaran,” katanya.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz. – BERNAMA