"Buta Sejarah, Tak Lahir Ke Dunia Lagi", Abdul Hadi Bidas Husam

SHAH ALAM - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas Datuk Husam Musa sebagai "buta" sejarah dan menyindirnya pedas Adun Salor itu "masih lagi belum dilahirkan" untuk menuduh PAS cuba membina Kerajaan Perpaduan (UG) dengan Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi dalam kenyataannya menegaskan sejarah PAS menyertai parti Perikatan yang kemudiannya menjadi BN sejak zaman 70-an tidak akan berulang sebagaimana yang dituduh Husam sebelum ini.

"Senario itu tidak akan berulang lagi (PAS sertai BN), orang yang sebut itu (Datuk Husam Musa) tak baca sejarah dan tak lahir ke dunia lagi," katanya dalam sesi dialog dalam Hi-Tea Konvensyen bertajuk 'Jelas Bersama Presiden' di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, semalam.

Husam pada Jumaat lalu mendakwa bahawa Abdul Hadi mahu bekerjasama dengan UMNO semasa krisis Menteri Besar Selangor pada tahun lalu.

Abdul Hadi dalam kenyataan beliau menjelaskan bahawa PAS konsisten bekerjasama dengan semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang dalam usaha untuk menyelamatkan negara, termasuk pihak kerajaan BN.

"Pendekatan terkini kita ialah menjadi pembangkang yang menasihat, yang bekerjasama dengan perkara baik dan menentang perkara tak baik, ini sikap kita.

"Kita menentang (mereka) yang nak meruntuhkan negara, sama ada kerajaan atau pembangkang, kita lawan semua," ujarnya yang kepada media.

Ketika ditanya media mengenai dakwaan Husam mengenai UG di Selangor, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan bahawa Adun Salor itu sebagai ketinggalan zaman.

"Kerajaan perpaduan itu bukan masuk BN, tapi semua parti dalam kerajaan, itu kerajaan perpaduan, yang pernah diusahakan pada 2008, tapi oleh kerana banyak pihak tak setuju, tak jadi lah.

"Kerajaan perpaduan itu semua parti dalam kerajaan, bukan masuk BN, jangan putar belit, BN pun dalam kerajaan, DAP dalam kerajaan, PKR dalam kerajaan, tak ada pembangkang," katanya menjelaskan isu berkenaan.

Sejak akhir-akhir ini, Husam disifatkan begitu lantang mengkritik PAS di khalayak umum sehingga menyebabkan ramai pemimpin  parti itu yang bertindak mengecam beliau secara terbuka. -Kedahnews.com