Asan Ali (kanan) dan Amir (kiri) pada sidang media, baru-baru ini. |
ALOR SETAR – Kerajaan harus memperkenalkan kaedah nisbah dalam suatu sektor atau industri bagi membezakan pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja asing dan tempatan.
Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM, Prof Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, jika tidak pelaksanaan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 yang diperkenalkan kerajaan tidak berjaya.
“Peraturan ini perlu untuk membezakan pekerja asing dan tempatan. Jika tidak, majikan mungkin akan berubah dengan mengambil dan menggajikan pekerja asing sahaja.
“Untuk menyelesaikan masalah ini, saya mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan kaedah nisbah agar pekerja tempatan terus mendapat pekerjaan yang berkenaan,” katanya kepada media.
Menurutnya, sebagai contoh jika terdapat 10 orang pekerja, maka tujuh pekerja adalah tempatan dan tiga lagi pekerja asing.
“Sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian, kita khuatir majikan mungkin akan mengambil lebih banyak pekerja asing berbanding tempatan sebab mereka boleh dibayar dengan gaji lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, majikan harus patuhi peraturan baru yang ditetapkan kerajaan mulai 2016.
“Semua pihak patut sedar bahawa apabila kerajaan buat suatu pengumuman, ia selalunya dijalankan berdasarkan akta dan undang-undang.
“Sepatutnya apabila telah dinyatakan pelaksanaan gaji minimum baru, tidak patut berlaku tawar menawar (majikan dan kerajaan) dengan memberi alasan kurang berkemampuan,” katanya.
Jelasnya, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa jika majikan enggan mematuhi pelaksanaan gaji minimum baru yang ditetapkan kerajaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan gaji minimum di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 mulai Julai.
Manakala kadar gaji minimum di Sabah, Sarawak dan Labuan pula ditetapkan daripada RM800 kepada RM920, kecuali pekerja domestik.
Sumber: Sinar Harian