"Ceaser" Jadi "Scissors", Penyedia Makanan Hantar Surat Mohon Maaf


Susulan dari kisah viral salah ejaan untuk salad yang dihidangkan dalam satu majlis makan malam melibatkan ahli Parlimen baru-baru ini, pihak katerer Putrade Management Property Sdn Bhd mengutus satu surat mohon maaf kepada Parlimen.

Kandungan surat rasmi yang dihantar kepada ketua pentadbiran Parlimen, Datuk Awang Alik Jeman, Putrade menjelaskan mengenai kesilapan ejaan dalam menu seperti scissors salad (caesar salad) dan cream brule (creme brulee).

Memetik laporan media The Star, pengerusi syarikat katering tersebut Tan Sri Datuk Seri Dr Alias Anor Abdul menyatakan, beliau telah bertemu dengan kesemua ketua jabatan yang terlibat dalam majlis makan malam tersebut dan memberi jaminan kesilapan sebegitu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Menurut Alias lagi, kesilapan ejaan itu sebenarnya telah diperbetulkan sebelum majlis berlangsung.

Majlis Perjumpaan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersama pegawai-pegawai kanan Parlimen diadakan pada 23 November lalu.

Kesilapan ejaan pada menu di majlis tersebut menjadi viral selepas ada tetamu berkongsi gambar kesilapan itu sehingga menjadi viral di media sosial Twitter dan aplikasi perbualan WhatsApp.

Pihak Parlimen sebelum ini turut dikatakan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang menyebarkan gambar tersebut sehingga menjadi viral. –Kedahnews.com