"Cikgu Det" Harumkan Nama Padang Terap, Terpilih Lembaga Eksekutif UNESCO

"Cikgu Det"
PADANG TERAP – "Cikgu Det" hari ini dilaporkan secara rasmi telah dipilih sebagai Anggota Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2015-2019, mewakili negara Malaysia.

Pemilihan Menteri Pendidikan yang merupakan anak kelahiran Kampung Jabi, Pokok Sena di Kedah itu sekaligus mempamerkan pengiktirafan dunia terhadap sistem pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selaku Anggota Lembaga Eksekutif yang baru, Malaysia akan terus memainkan peranan yang penting bagi merealisasikan agenda dan program UNESCO pada peringkat antarabangsa, khususnya di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.

"Ini menunjukkan bahawa negara-negara anggota UNESCO telah memberi kepercayaan kepada Malaysia dan kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak melalui pengundian kerusi pada hari ini, memilih Malaysia untuk menduduki kerusi Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO bagi sesi 2015-2019 yang diwakili oleh saya," kata Ahli Parlimen Padang Terap itu.

Selain itu, beliau turut mengungkapkan penghargaan kepada Kementerian Luar, khususnya Kedutaan Malaysia di Paris, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) , Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Tidak beliau lupakan, penghargaannya turut ditujukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang turut terlibat dalam usaha Malaysia untuk menganggotai Lembaga Eksekutif berkenaan.

Lebih diutamakan, "Cikgu Det" mengucapkan jutaan terima kasih beliau kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan pengiktirafan dunia kepada negara tersebut.

“Jutaan terima kasih juga saya sampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan kita pada hari ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Malaysia berjaya menduduki kerusi Lembaga Eksekutif berkenaan selepas memperoleh undi tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik dan pemilihan tersebut telah diumumkan pada Mesyuarat Pleno ke-12 Persidangan Agung UNESCO ke-38 yang berlangsung pada Rabu (11 Nov) di Paris.

Malaysia memperoleh 165 undi diikuti Vietnam (156), Sri Lanka (149), Korea (137), Pakistan (135) dan Iran (128).

Kali terakhir Malaysia menganggotai kerusi Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO adalah di era bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin, namun kehilangan kerusi tersebut ketika di zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Menteri Pendidikan. -Kedahnews.com