"Cikgu Det" Jemput Masyarakat Beri Pandangan Atasi Masalah Buli


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjemput masyarakat Malaysia untuk memberi pandangan membina dalam usahanya menangani masalah buli yang dilapor semakin berleluasa berlaku di sekolah.

Mengalu-alukan pandangan dari semua pihak, pendapat tersebut boleh diajukan di ruangan komen di laman sosial Facebook rasminya yang difahamkan bakal dipadankan dengan hasil kajian dari pelbagai pihak lain.

"Sebagai warga pendidik, ibu bapa dan ahli masyarakat, apakah cadangan anda untuk membasmi masalah buli daripada segi mental dan kekerasan fizikal di kalangan murid serta pelajar di sekolah sama ada sekolah jenis harian atau pun berasrama?

"Pandangan anda amat saya hargai di samping dapatan kajian pelbagai pihak," tulis beliau sebagaimana yang dipetik dari laman sosialnya itu.


Masalah buli di kalangan para pelajar di Malaysia dilaporkan semakin menjadi-jadi termasuk insiden yang mengakibatkan kecederaan parah yang membawa maut.

Meskipun pelbagai kaedah dilakukan sebelum ini termasuk menempatkan pelajar terbabit di sekolah pemulihan akhlak dan sebagainya, ia bagaikan "mencurahkan air di atas daun keladi" selain tidak dihiraukan oleh para pelajar. -Kedahnews.com