Cuba Rasuah Ketua Operasi Imigresen Kedah, Lelaki Ditahan Di Pendang


ALOR SETAR - Dua warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi atas cubaan merasuah RM10,000 kepada pengawai penguat kuasa Imigresen negeri.  

Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Yusri Hashim berkata rasuah itu ditawarkan kepada ketua operasi Ops Sapu, di sebuah tapak pembinaan ladang ayam, Lubuk Getah, Pendang 6.20 petang kelmarin.

Pemeriksaan ketika itu menahan 17 lelaki warga Bangladesh berumur 27 hingga 35 tahun kerana kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

Ketika menjalankan operasi itu, katanya, ketua operasi ditawarkan wang berjumlah RM3,000 oleh seorang daripada warga Bangladesh berumur 36 tahun yang bekerja di lokasi terbabit sebagai dorongan agar tidak diambil tindakan.

"Warga Bangladesh tersebut menyatakan bahawa tawaran itu adalah daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai ketua warga Bangladesh yang bekerja di lokasi terbabit dan sedang berada di Pulau Pinang," katanya.

Bagaimanapun, ketua operasi berkenaan meminta lelaki itu supaya hadir menyerahkan sendiri wang seperti yang ditawarkan, dan pada masa sama bertindak menghubungi SPRM.

Beliau berkata, apabila warga asing yang ditahan cuba melarikan diri, lelaki warga Bangladesh itu menawarkan lagi wang berjumlah RM8,000 dan meminta mereka dilepaskan.

"Kemudian seorang lelaki warga tempatan berumur 23 tahun datang menyerahkan  RM5,000 sebagai bayaran pendahuluan, dan ketua operasi mengambil peluang lagi untuk meminta ketua warga Bangladesh berkenaan untuk hadir sendiri di lokasi dan dipersetujui," katanya.

Katanya kira-kira 9 malam, seorang lelaki warga Bangladesh, dipercayai ketua warga Bangladesh berumur 37 tahun itu hadir menyerahkan wang RM10,000 dan mendakwa diarahkan seseorang untuk melakukan demikian.

Beliau berkata, sejurus wang tersebut diserahkan, kesemua lelaki tersebut ditahan SPRM untuk tindakan lanjut.- Bernama