Cuba Tarik Perhatian Suami, Wanita Hamil Cuba Terjun Dari Tingkat 16

Gambar Hiasan
Hanya kerana terlalu mendambakan perhatian suami, seorang wanita yang sedang sarat hamil nekad untuk cuba terjun dari tingkat 16 sebuah apartmen yang terletak di Taman Connaught, Cheras, lewat malam kelmarin.

Bagaimanapun, hasrat wanita berusia 30 tahun itu terbatal apabila aksinya yang  berdiri di atas kompresor alat penghawa dingin disedari oleh penghuni apartmen berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin, berkata, wanita yang hamil tujuh bulan itu berjaya dibawa turun dan  tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa dikatakan tidak akan mengulangi kejadian itu dan tiada niat untuk membunuh diri sebaliknya mahu mendapatkan perhatian suaminya.

“Suami mangsa sehingga kini masih tidak dapat dihubungi,” katanya yang dipetik dari sebuah portal, semalam.

Tambahnya, siasatan awal mendapati wanita hamil itu mengalami tekanan perasaan kerana mempunyai konflik dengan suaminya.

Akibat tindakannya, wanita yang mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun ini telah ditahan reman hingga Isnin depan. –Kedahnews.com