Culik Bayi 12 Hari, 4 Suspek Ditahan Reman Termasuk Dalang

Polis menyerbu sebuah pusat tuisyen di Taman Gadong Perdana malam semalam sebelum menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia 12 hari yang diculik petang Selasa lalu dan menahan tiga wanita yang disyaki terbabit dalam kes itu.
MELAKA – Polis percaya dapat menyelesaikan kes penculikan seorang bayi lelaki berusia 12 hari di Kota Laksamana di sini pada 24 Nov lepas dengan penahanan empat suspek termasuk seorang dalang.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata kesemua suspek warga tempatan berumur lingkungan 21 hingga 25 tahun iaitu tiga wanita dan seorang lelaki itu ditahan secara berasingan di sini malam semalam.

Beliau berkata dengan penahanan keempat-empat suspek itu, polis dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang daripada 48 jam.

Chua berkata susulan kejadian pada Selasa lepas, ibu mangsa menerima khidmat pesanan ringkas daripada suspek pukul 6.52 petang meminta beliau menyerahkan wang tebusan RM300,000 dan selepas berbincang penculik terbabit bersetuju mengurangkan jumlah itu kepada RM200,000.

“Keluarga mangsa kemudian membuat bayaran tebusan di sebuah premis pusat tuisyen di Pulau Gadong di sini kira-kira 10.30 malam tadi seperti yang dikehendaki suspek berkenaan.

“Polis kemudian menyerbu premis tersebut serta menahan tiga wanita dan menyelamatkan bayi tersebut. Susulan penahanan ketiga-tiga wanita terbabit, polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai bapa saudara mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Chua berkata siasatan lanjut mendapati dua daripada empat suspek adalah ahli keluarga kepada mangsa berumur 25 dan 24 tahun.

Beliau berkata bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan kesihatan dan motif penculikan dipercayai disebabkan suspek mempunyai masalah kewangan.

Beliau berkata kesemua suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan. – BERNAMA