DAP Parti Yang Degil Dan Keras Kepala, Dakwa PAS

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari
KUALA LUMPUR – PAS mendakwa DAP sebenarnya terlampau bimbang dengan agenda Islamisasi yang cuba dibawa oleh parti itu.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerisauan itu menyebabkan DAP mendesak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memecat wakil PAS dalam kerajaan Selangor dengan segera.

“Di pihak PAS, kita telah merasai perit pedihnya bermuamalat dengan DAP. DAP lebih kelihatan sebagai sebuah parti yang degil dan keras kepala,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Fadhli turut menyifatkan desakan DAP supaya memecat wakil PAS itu satu lagi bukti bahawa DAP ingin menjadi ketua dalam blok pembangkang.

“Ia juga bakal memberikan petunjuk sikap dan gaya kepimpinan yang akan dibawa oleh DAP sekiranya mereka diberikan mandat yang besar oleh pengundi dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau turut menyelar parti DAP kerana mendesak wakil PAS yang dilantik oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diusir daripada kerajaan Selangor

Sehubungan itu, katanya, DAP sebenarnya telah bertindak seperti `Mr Arrogant’ apabila membuat arahan dan ugutan kepada seorang Menteri Besar Selangor.

Beliau turut mengkritik pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana membiarkan seorang Menteri Besar merangkap Timbalan Presiden PKR diserang dengan ugutan sedemikian rupa oleh DAP tanpa sebarang kenyataan balas daripada pendokong parti. -Kedahnews.com