Darul Quran Lahirkan Lebih 3,000 Huffaz Pelbagai Bidang


MELAKA – Darul Quran, institusi pengajian tinggi tahfiz Al-Quran kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), telah berjaya melahirkan lebih 3,000 huffaz dalam pelbagai bidang profesional sejak 2000.

Timbalan Ketua Pengarah Jakim Datuk Razali Shahabudin berkata pencapaian ini merupakan kejayaan dan nilai tambah kepada kalangan huffaz terutama dalam generasi muda pada masa kini.

“Antara bidang profesional tersebut termasuk perubatan, kejuruteraan dan seni bina dan dijangkakan lebih ramai lagi huffaz yang akan dilahirkan dalam bidang berkenaan pada masa hadapan.

“Kita percaya kegemilangan huffaz pada masa lampau mampu dikembalikan pada masa kini sekiranya usaha berterusakan dilakukan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Pensyarah Tahfiz Peringkat Kebangsaan kali-14 di sini, Rabu malam.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Mengulas lanjut, Razali berkata pelbagai usaha dilaksanakan termasuk menganjurkan program dan kursus bersama beberapa universiti awam di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek penghafazan malah juga akademik serta sahsiah diri.

Beliau berkata Jakim juga sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada 14 Maahad Tahfiz Quran Negeri (MTQN) di seluruh negara bagi memperkasa institusi berkenaan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Para huffaz adalah cermin kepada masyarakat, akhlak dibentuk melalui Al-Quran tapi kalau mereka tidak dapat menunjukkan kualiti yang baik dalam masyarakat maka ia akan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan juga Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penganjuran konvensyen berkenaan bertujuan sebagai medium pertukaran idea dan pandangan antara semua pensyarah tahfiz dan pengetua MTQN di seluruh negara dalam usaha memperkukuh serta merangka program yang bersesuai untuk para huffaz seiring perkembangan semasa.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM120,000 untuk membiayai 20 huffaz yang berminat menjalani kursus atau program asasi di Kolej Universiti Islam Melaka yang dijangka bermula Mac tahun hadapan.

Beliau berkata mereka yang terpilih adalah dalam kalangan huffaz yang tidak mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan mereka diberi enam pilihan untuk mengikuti mana-mana program atau kursus yang ditawarkan.

“Mereka yang lulus program ini dalam tempoh masa yang ditetapkan akan diberi peluang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma atau ijazah. Langkah berkenaan diharap membantu huffaz untuk memiliki masa hadapan lebih terjamin,” katanya. – BERNAMA