Debat 1MDB: Siaran Langsung Di RTM Secepat Mungkin


KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia mengadakan siaran langsung debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pihaknya telah menghubungi Arul Kanda hari ini bagi memaklumkan bahawa RTM akan menyediakan studio bagi siaran secara langsung itu, dan akan turut menghubungi Pua dalam masa terdekat.

“Pada kita elok diteruskan debat ini agar masyarakat Malaysia boleh tahu keadaan 1MDB yang sebenar. RTM akan bincang dengan kedua-dua pihak untuk mengetahui bila mereka mahu adakan debat itu. Kita tidak ada halangan.

“I hope it would be held this year as soon as possible (Saya harap ia diadakan tahun ini secepat mungkin).

“Pada saya lebih cepat lebih baik. Tidak boleh ‘hanging’ (tangguh) perkara tersebut kerana rakyat ternanti-nanti untuk mendengar perbahasan soal 1MDB ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Arul Kanda pada Sabtu berkata beliau bersedia bersemuka dengan Pua secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara itu, tanpa sebarang syarat.

Ini sebagai menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan.

Bagaimanapun, Salleh berkata kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan iaitu hanya maklumat umum sahaja boleh disampaikan dan bukannya maklumat yang dibincangkan di dalam PAC.

“Kedua-dua pihak diberi peluang untuk memberi hujah masing-masing dalam sesi debat selama sejam itu. Pada saya itu format terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai format sesi debat itu, Salleh berkata kedua-dua pihak perlu sependapat mencari suatu format yang sesuai dan memaklumkan kepada RTM mengenai perkara itu bagi memudahkan urusan siaran langsung.

“Dalam soal debat ini, ia bukan suatu soal jawab, bukan sekadar satu pihak soal, satu pihak jawab.
“Ia harus di mana kedua-dua pihak itu berhujah ke atas penerangan masing-masing yang ada kaitan dengan 1MDB. Dan kita akan sediakan moderator,” katanya.

Salleh turut memaklumkan bahawa RTM akan mengadakan program baharu, ‘Demokrasi Mengurus Perbezaan’ yang akan disiar secara langsung tidak lama lagi bagi membincangkan pelbagai isu semasa.

“Program ini menggalakkan perbezaan (pendapat) diuruskan sebaiknya di dalam suasana kondusif. Tidak harus emosional, setiap pihak mesti berhujah secara rasional dengan fakta.
“Pada akhirnya, penonton akan membuat penilaian dan analisis atas isu tertentu” katanya. – BERNAMA