Debat Isu 1MDB: Terpulang Pada Tony Pua, Kata PAC

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin
KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin menyerahkan kepada anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk membuat keputusan sama ada untuk meneruskan debat dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

“Terpulang kepada Tony Pua sama ada ingin berdebat atau tidak. Itu sahaja yang saya ingin katakan,” katanya dalam sidang media ringkas di lobi Parlimen di sini, semalam.

Arul Kanda pada Sabtu berkata beliau bersedia bersemuka dengan Pua secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara itu, tanpa sebarang syarat.

Khamis lepas, Arul Kanda dalam satu kenyataan berkata beliau bersedia berdebat dengan Pua secara langsung di televisyen dengan syarat anggota Parlimen daripada DAP itu meletak jawatan sebagai anggota PAC.

Arul Kanda berkata demikian bagi menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan. – BERNAMA